Sebab, doa itu hakikatnya adalah luahan hati yang timbul dari jiwa yang meyakini wujudnya dua hakikat:
1. Hakikat wujudnya Allah SWT yang merupakan sumber kesempurnaan, kegagahan, kekayaan dan kelimpahan yang tiada bandingannya.
2. Hakikat wujudnya makhluk yang merupakan wadah kefakiran, keberhajatan, keperluan dan kedaifan.
TIPS-TIPS TENTANG CARA BERDOA

1. Bertaubatlah terlebih dahulu dengan membaca kalimat Al-Istighfar. Firman Allah SWT: “…Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” (Al-Baqarah: 222)
2. Menadah tangan dan menghadap kiblat sewaktu membaca doa. Sabda Rasulullah SAW: “Tuhan kamu Maha Pemalu dan Maha Pemurah. Dia malu jika hamba-Nya sudah mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu tidak diberi.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah)
3. Mulakan doa dengan ta’awudz terlebih dahulu untuk mengelakkan kita daripada gangguan syaitan. Contohnya, “Aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang direjam.”
4. Mulakanlah doa kita dengan memuji Allah SWT dan akhirilah dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Doa tanpa memuji Allah SWT, tasbih dan selawat ke atas Nabi dikira gopoh dan tidak cukup sopan.
5. Lontarkanlah suara kita antara suara terdengar dan suara yang agak perlahan.
6. Harus yakin bahawa doa kita akan diperkenankanNya, jangan sekali-kali meragui kekuasaan Allah melayani permintaan hamba-hambaNya. Aamiin Allahumma Aamiin…
7. Ulanglah doa kita berkali-kali dan bersungguh-sungguhlah dalam memintanya. Hendaklah dilakukan dengan penghadiran hati, rendah diri dan menjiwai kebesaran Allah SWT. SubhanAllah Alhamdulillah Allahuakbar!
SEBAB-SEBAB DOA SESEORANG TIDAK DIMAKBULKAN
Seterusnya kita masuk pula kepada sebab-sebab doa tidak dimakbulkan. Agak-agaknya kan, kenapa ye? Baiklah, secara ringkasnya yang dapat saya justifikasikan di sini, antara sebab-sebab doa seseorang tidak dimakbulkan adalah:
1. Mereka berdoa dengan cara yang tidak pernah diajarkan oleh Allah SWT dan rasulNya. Maksudnya seseorang itu tidak mengikuti “cara-cara berdoa” yang telah saya tuliskan di atas.
2. Selalu makan dan minum barang yang sudah pasti daripada sumber yang haram. Na’uzubillahi min dzalik. Bukankah Rasulullah SAW pernah menasihati Saad ibn Abu Waqqas yang bertanya tentang rahsia mustajab doa? Kata Baginda SAW yang bermaksud pilihlah barang-barang yang halal untuk dimakan dan digunakan, makanan yang haram hanya mendekatkan seseorang kepada api neraka.
3. Mengenali Allah SWT, tetapi tidak pernah menunaikan hakNya. Antara hak Allah SWT yang perlu kita tunaikan adalah beribadat kepadaNya. Ibadat itu juga sebagai tanda kita bersyukur dan berterima kasih atas nikmat pemberianNya yang tidak terhingga kepada kita.
4. Mengaku diri umat Nabi Muhammad SAW, tetapi tidak pernah mengamalkan sunnah Baginda SAW. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud barangsiapa yang tidak mengikut sunnah Baginda SAW bukanlah termasuk dalam golongan Baginda.
5. Mengenali Al-Qur’an, tetapi tidak pernah melaksanakan isi kandungannya. Antara ciri-ciri orang munafiq adalah membaca Al-Qur’an, tetapi tidak mengamalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.
TEMPAT DAN WAKTU YANG TERBAIK UNTUK BERDOA
Pemilihan tempat dan waktu yang terbaik untuk berdoa juga penting dalam memastikan sampainya doa kita kepada Dia Yang Maha Kuasa.
Tempat:
1. Ketika kita melihat Kaabah.
2. Ketika kita melihat masjid Rasulullah SAW.
3. Ketika berada di depan Kaabah.
4. Ketika kita berada di Raudah (Masjid Nabi).
5. Di belakang makam Nabi Ibrahim a.s.
6. Di sisi perigi zamzam.
7. Di atas Bukit Safa dan Marwah.
8. Di padang Arafah.
9. Di Muzdalifah.
10. Di Mina.
11. Di sisi jumrah yang ketiga.
12. Di masjid-masjid.
13. Di surau-surau.
Bagi kita yang berada di Malaysia sekarang ini, cukuplah kalau kita dapat berdoa di masjid-masjid dan di surau-surau. Justeru, rajinkanlah langkahan kaki ke masjid atau surau, luangkanlah sedikit masa ke rumah-rumah Allah SWT. =)
Masa:
ORANG YANG MAKBUL DOANYA1. Ketika menuju ke medan perang.
2. Dalam pertempuran di medan perang.
3. Ketika hujan.
4. Sesudah berwudhu’.
5. Selepas azan (antara azan dan iqamah).
6. Sewaktu sujud.
7. Di akhir surah Al-Fatihah.
8. Sesudah membaca Al-Qur’an dan sesudah selesai menunaikan solat fardhu lima waktu.
9. Di tengah malam.
10. Di sepertiga malam yang pertama dan terakhir bulan Ramadhan.
11. Pada bulan Ramadhan.
12. Malam Lailatulqadar.
13. Pada hari Jumaat.
Mesti anda semua ingin mengetahui siapakah orang yang mudah dimakbulkan doanya kan? Antara golongan yang doanya mudah dimakbulkan adalah:
1. Doa seorang pemimpin yang adil.
2. Doa orang yang sedang berpuasa.
3. Doa orang yang dizalimi.
4. Doa seorang muslim untuk saudaranya.
5. Doa seorang anak untuk kedua-dua orang ibu bapanya.
6. Doa orang tua kepada anaknya.
“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Al-Mu’min: 60)
0 comments:
Post a Comment